FUNGSI BAKTERIA PENURUN BESI DALAM KAKISAN

Masalah kakisan (corrosion) pada struktur dan alatan industri berasaskan logam merupakan satu permasalahan yang besar dalam pelbagai bidang seperti industri minyak dan gas (O&G), perkapalan, perlombongan dan sebagainya.  Kerosakan infrastruktur dan alatan industry besi dan keluli akibat kakisan menyebabkan kerugian melebihi 2 trillion dollar Amerika setiap tahun di seluruh dunia. Kakisan boleh juga berlaku akibat tindakbalas elektrokimia antara logam dan persekitaran. Faktor-faktor yang dapat menpercepatkan proses kakisan terbahagi kepada faktor kimia dan biologi. Proses kakisan utama yang disebabkan oleh faktor biologi dikenali sebagai  Kakisan Pengaruh Mikrob atau Microbial Influenced Corrosion (MIC). MIC adalah satu proses kakisan yang berlaku pada logam akibat tindakbalas metabolisma yang dijalankan oleh mikroorganisma yang biasa terdapat dalam alam sekitar. Dianggarkan antara 20%-40% daripada kos kerugian akibat kakisan dalam industri adalah berpunca daripada MIC.

Berbanding dengan kakisan kimia, MIC adalah sukar untuk diramal kerana ianya berkait dengan faktor fisiologi dan jenis mikroorganisma yang terbabit dalam proses tersebut. Jenis mikroorganisma yang telah dikenal pasti menyumbang mempercepatkan proses MIC adalah termasuk bakteria penurun sulfat, bakteria penurun thiosulfate, bakteria pengeluar asid, bakteria penurun nitrat, arkaea methanogenik dan bakteria pengoksida besi.  Selain mikroorganisma yang mempercepatkan proses MIC, terdapat juga jenis bakteria yang boleh mencegah proses kakisan. Pada masa yang sama, terdapat juga jenis mikroorganisma yang boleh bertindak mempercepatkan atau mencegah kakisan dalam persekitaran yang berbeza.  Bakteria Penurun Besi (Iron-reducing Bacteria (IRB)  adalah jenis bakteria yang fungsinya dalam MIC masih menjadi subjek pendebatan .

Bakteria Penurun Besi (IRB) adalah bakteria yang menggunakan oksida besi sebagai penerima elektron semasa proses penghasilan tenaga melalui respirasi anaerobic.  Dalam persekitaran tanpa oksigen , IRB akan mengalirkan elektron kepada oksida besi yang terletak di luar sel dan menurunkan oksida besi tersebut. Melalui proses elektrokimia penurunan, IRB dipercayai dapat mencegah kakisan kerana ia dapat menstabilkan oksida besi dan menghalang proses pengoksidaan. Walaubagaimanapun, beberapa hasil kajian terbaru menunjukkan dalam keadaan yang berbeza, IRB berfungsi menpercepatkan lagi proses kakisan. Hasil penemuan yang bercanggah dengan hasil penemuan terdahulu telah menimbulkan satu persoalan baru tentang fungsi sebenarnya IRB dalam proses MIC. Untuk merungkai persoalan ini, pasukan penyelidik kami sedang menjalankan satu kajian tentang kesan IRB yang telah dipencilkan dari Laut China Selatan ke atas kakisan besi. Fungsi strain-strain IRB dalam proses MIC dinilai dengan mengambilkiraan kepelbagaian spesis dan fisiologi IRB.